Kipyegon hampir pecahkan rekod dunia

Kipyegon hampir pecahkan rekod dunia

FAITH KIPYEGON - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Chorzow, POLAND: Pelari jarak jauh Kenya, Faith Kipyegon mengakui berpuas hati dengan prestasinya apabila hampir memecahkan rekod dunia bagi acara 3,000 meter (m) wanita di Liga Berlian Silesia, semalam.

Enam minggu selepas memperbaharui rekod dunianya sendiri bagi acara 1,500 meter di Eugene, pemenang tiga kali pingat emas Olimpik dan juara dunia empat kali itu mencatat masa 8 minit 07.04 saat (s).

Catatan itu hanya kurang sedikit daripada rekod dunia 8:06.11 yang dicatat oleh Wang Junxia dari China pada 1993.

“Ia kini mengenai Tokyo,” kata Kipyegon merujuk kepada kejohanan dunia yang akan berlangsung dari 13 hingga 21 September.

“Saya sangat gembira. Saya memang mahu berlari dalam jarak yang lebih jauh. Sejujurnya, saya tidak nampak jam di garisan penamat kerana saya terlalu letih. Tapi sekarang saya sangat berpuas hati dengan masa tersebut.

“Saya nampak garisan merah rekod dunia semasa perlumbaan tetapi hari ini (semalam) sangat panas.

“Saya bersyukur dengan apa yang telah saya capai. Semua rekod ini, inilah yang saya suka lakukan. Saya mahu menjadi inspirasi kepada golongan muda dan saya suka mencabar diri sendiri.

“Tokyo ialah perlumbaan kejohanan, jadi apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Sebagai rekod, Kipyegon hanya pernah berlumba dalam acara 3,000m sebanyak dua kali sebelum ini dan catatan peribadi terbaiknya adalah 8:23.55s yang direkodkan pada 2014. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN