Kern Pharma ganti Confidis dalam PLTdL25

Kern Pharma ganti Confidis dalam PLTdL25

KETUA Pegawai Operasi (COO) Sekretariat PLTdL25, Emir Abdul Jalal memaklumkan penganjur menerima maklum balas segera daripada pasukan ProTeam Sepanyol itu selepas Cofidis menarik diri, Khamis lalu-IHSAN PLTdL25
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan pasukan gergasi WorldTeam, Cofidis dalam edisi ke-29 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) pantas diisi Equipo Kern Pharma yang sedia membuat kemunculan semula di tanah air.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat PLTdL25, Emir Abdul Jalal yang memaklumkan penganjur menerima maklum balas segera daripada pasukan ProTeam Sepanyol itu selepas Cofidis menarik diri, Khamis lalu.

“Memang sedikit terkilan kerana kita kehilangan sebuah pasukan berstatus WorldTeam, namun penyertaan Kern Pharma tidak akan mengurangkan sengitnya saingan. Mereka juga pasukan hebat dan pernah membuktikan kemampuan dalam dua edisi lalu,” katanya dalam kenyataan.

Kern Pharma mula mencuri perhatian dalam penampilan sulung di PLTdL23 apabila Pablo Castillo Zapater menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan, selain membantu pasukan berada di tempat ketiga kategori Pasukan Terbaik.

Lebih menyerlah, musim lalu mereka muncul juara Pasukan Terbaik dengan tiga pelumba menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik iaitu Unai Iribar (3), Ibon Ruiz (7) dan Jorge Gutierrez (8).

Biarpun senarai enam pelumba untuk PLTdL25 belum dimuktamadkan, Emir tidak menolak kemungkinan kelibat juara keseluruhan PLTdL22, Ivan Sosa kembali mewarnai saingan.

“Jika Kern Pharma menurunkan Sosa, ia pasti menambah lagi warna pada edisi kali ini. Mereka juga sudah matang selepas dua tahun berturut-turut merasai cabaran unik perlumbaan di Malaysia,” ujarnya.

Setakat ini, hanya dua pasukan WorldTeam mengesahkan penyertaan iaitu XDS Astana dan Team Picnic PostNL, manakala Kern Pharma akan bergabung dengan lapan pasukan ProTeam lain termasuk VF Group-Bardiani CSF-Faizane, Total Energies, Tudor Pro Cycling dan Uno-X Mobility.

Edisi ke-29 PLTdL25 berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober melibatkan 1,243.5 kilometer merentasi 12 negeri, bermula di Pulau Langkawi sebelum menutup tirai di KLCC, Kuala Lumpur.

Perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN