Katanya mahu bersembang, tiba-tiba pegang paha saya - Diana Danielle - Utusan Malaysia

Katanya mahu bersembang, tiba-tiba pegang paha saya – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual dalam kalangan orang terdekat sejak zaman sekolah.

Diana berkata, episod hitam itu berlaku ketika usianya mencecah 16 tahun sewaktu ibunya meminta pertolongan pihak produksi untuk menghantarnya pulang.

“Waktu itu ibu saya ibu tunggal, jadi dia tak mampu meneman atau ambil saya di set. Ada seorang kru lelaki ini tawarkan diri untuk hantar saya pulang ke dengan keretanya sendiri.

“Masa saya mahu turun kereta, dia tak bagi katanya mahu sembang. Tiba-tiba dia pegang paha saya. Masa itu, saya fikir saya perlu melakukan sesuatu jadi saya tumbuk mulut dia.

“Saya terus tegur dan cakap, jangan sentuh saya. Kalau nak bercakap, biar dengan cara baik, jangan sentuh. Kita mesti ada ketegasan. Saya bangga dengan diri saya kerana mampu pertahankan maruah,” katanya menerusi sebuah audio siar.

Dalam perkongsian sama, pelakon filem Imaginur itu turut mendedahkan dirinya juga pernah diganggu oleh rakan kepada ayah tirinya yang merupakan seorang agamawan pada usianya enam tahun.

“Kawan ayah tiri saya datang ke rumah. Dia sangat baik, peramah dan suka budak-budak tapi ada satu insiden dia pernah ambil kesempatan ke atas diri saya.

“Tapi pada waktu itu saya rasa, saya antara kanak-kanak yang lebih berwaspada jadi saya terus tarik diri daripada rapat dengan dia. Orang seperti ini dia akan ambil masa untuk ‘grooming’ kita.

“Jadi lama kelamaan itu dia sudah menunjukkan kelakuan tidak normal dan bila insiden itu jadi saya kaku dan terus lari.

“Dia juga seorang yang beragama dan sering dijadikan rujukan untuk semua orang. Jadi masa itu saya mula bertanya pada diri sendiri,” jelasnya.

Meskipun trauma berdepan dengan situasi itu, Diana memilih untuk memendamnua sendirian bahkan tidak memaklumkan setiap insiden tersebut kepada ibunya.

“Saya mahu tekankan kadang-kadang benda ini juga boleh jadi dalam kalangan orang terdekat. Sebelum episod podcast ini, saya tidak pernah salahkan ibu saya kerana memahami keadaan ketika itu.

“Sampai sekarang ibu saya belum tahu hal ini. Saya pernah cerita dengan salah seorang kawan saya sebab saya rasa saya perlu ceritakan dan luahkan tentang perkara ini.

“Dan, itupun mengambil masa beberapa hari untuk saya nekad beritahu rakan saya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN