MUNICH: Harry Kane menjaringkan gol pertama menentang bekas kelabnya ketika Bayern Munich membelasah Tottenham Hotspur 4-0 dalam aksi persahabatan pramusim di Allianz Arena, awal pagi tadi.
Penyerang England itu membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 hasil penyudah tenang dalam kotak penalti selepas menerima hantaran pendek di hadapan gol.
Dua minit kemudian, Kane berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti selepas Joao Palhinha , pemain pinjaman dari Bayern ke Spurs melakukan kekasaran, namun Kane tergelincir dan sepakan tersasar tinggi.
Ia merupakan kali pertama Kane gagal menyempurnakan penalti sejak Piala Dunia 2022 ketika menentang Perancis.
Bayern terus menguasai permainan dan menggandakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi rembatan lencong Kingsley Coman dari luar kotak penalti.
Dua pemain muda Bayern, Lennart Karl dan Jonah Kusi-Asare kemudian melengkapkan kemenangan bergaya dengan jaringan masing-masing di penghujung perlawanan.
Perlawanan ini menjadi medan pemanas badan terakhir Bayern sebelum berdepan Paris Saint-Germain dalam aksi Piala Super Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) minggu depan.
Sementara itu, skuad Spurs kendalian jurulatih baharu Thomas Frank terus menunjukkan prestasi tidak konsisten dalam pramusim meskipun sebelum ini menewaskan Arsenal serta Reading, dan mencatatkan keputusan seri dengan Newcastle, Luton Town dan Wycombe. – AGENSI