PETALING JAYA: Pemain muda negara, Justin Hoh terlepas peluang untuk merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia selepas tumpas kepada Alwi Farhan dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Macau 2025 di Macau, hari ini.
Justin, 21, yang menghuni ranking ke-45 dunia tunduk kepada pemain No. 25 dunia itu menerusi kekalahan straight set 15-21, 5-21 dalam masa 54 minit.
Kekalahan tersebut menyaksikan Justin yang muncul sebagai naib juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$14,060 (RM60,141) beserta pingat perak.
Anak jati Kuala Lumpur itu yang mara buat kali pertama ke perlawanan akhir pada kejohanan berstatus Super 300 tersebut kini keciciran 2-4 di belakang Alwi berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain berkenaan.
Kali terakhir wakil Malaysia menjulang gelaran perseorangan lelaki ialah menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei yang dilakar bekas jaguh No. 1 dunia itu pada 2009 dan 2010.
Sejak kejayaan tersebut, belum ada lagi mana-mana pemain negara yang mampu mengulangi pencapaian itu. – UTUSAN