KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh melihat peluang menjalani latihan di Denmark sebagai platform terbaik untuk mencari ramuan dalam memperkukuh corak permainannya.
Biarpun tidak beraksi di Kejohanan Badminton Dunia 2025, pemain berusia 21 tahun itu tetap bersemangat kerana dibawa sebagai rakan sepelatih bagi membantu Leong Jun Hao dan K. Letshanaa di Paris hujung bulan ini.
“Selepas ini saya akan pergi ke Denmark untuk menjalani latihan di sana, itu merupakan peluang terbaik buat saya untuk berlatih kali pertama dengan pemain-pemain terbaik di Denmark.
“Sudah tentu saya gembira untuk berlatih di sana, lebih-lebih lagi saya pun nak belajar dengan mereka, terutamanya dari segi disiplin di dalam dan luar gelanggang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Latihan bersama skuad Denmark itu adalah inisiatif Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen dalam memastikan Justin mendapat pendedahan bertaraf dunia.
Justin kini mempamerkan kebangkitan selepas menjadi naib juara Terbuka Macau minggu lalu selepas tewas kepada pemain Indonesia, Alwi Farhan pada aksi final.
Dalam pada itu, Justin percaya sesi latihan luar negara mampu menjadi pemangkin untuk menambah baik tahap konsistensi serta ketajaman serangan dalam perlawanan sebenar.
“Selepas berlatih di Denmark, saya juga akan ada banyak kejohanan yang perlu disertai dan harapan saya sudah tentu untuk menampilkan aksi yang lebih baik berbanding kejohanan-kejohanan terdahulu,” ujarnya. – UTUSAN