SIPITANG: Lebih kurang 60 ahli keluarga arwah Zara Qairina Mahathir hadir menunjukkan sokongan ketika proses gali semula kubur di sini hari ini.
Difahamkan ada yang datang sejauh Labuan, Selangor and Brunei untuk bersolidariti di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Misapol.
Antara yang terawal tiba di lokasi ialah nenek dan datuk Allahyarham, Asnah Yusof Abdullah, 76, dan Hashim Tuah, 82, seawal pukul 3 petang.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, mereka menzahirkan harapan bagi proses penggalian semula berjalan dengan laju dan lancar.
“Semoga cepat selesai dan dapat pengadilan yang segera,” katanya mereka.
Menurut mereka, kali terakhir berjumpa dengan Zara sebelum insiden tragik berlaku adalah ketika sambutan hari jadi arwah.
Asnah dan Hashim juga di antara ahli keluarga yang menemani Allahyarham di hospital selepas kejadian tersebut.
“Zara dulu selalu mengaji, membaca al-Quran. Budak yang baik dan sopan.
“Kami sangat terkejut bila mendapat panggilan mengatakan dia sudah tiada,” kata mereka.
Dalam pada itu, ibu Zara, Noraidah Lamat dan ayahnya Mahathir Hashim tiba di tapak perkuburan pada lebih kurang 4.56 petang dengan diiringi polis.
Lebih kurang 40 orang ramai turut berada di lokasi untuk memberi sokongan kepada keluarga Allahyarham.
Turut dilihat di lokasi ialah pasukan forensik serta pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (Jheains).
Garisan polis juga telah diletakkan di laluan masuk ke tanah perkuburan, sekitar 100 meter dari kubur Allahyarham.
Proses penggalian semula difahamkan telah bermula pada 6 petang dan tamat pada pukul 7.15 petang.
Ia disaksikan oleh Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali, ibu Zara, serta Dr Jessie Hiu dari Hospital Queen Elizabeth I.
Enam ahli jawatankuasa tanah perkuburan tersebut difahamkan turut terbabit dalam proses penggalian.
Kenderaan yang membawa keluarga terdekat Zara dilihat meninggalkan kawasan pada kira-kira 7.38 malam.
Menurut peguam keluarga Zara, Hamid Ismail dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, jenazah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I malam ini untuk dibedah siasat pada pukul 9 pagi esok.-UTUSAN











