KUALA LUMPUR: “Juara tidak lahir dalam satu perlawanan.”
Berikut merupakan pesanan penuh makna legenda perseorangan badminton lelaki China, Chen Long kepada pemain profesional negara, Lee Zii Jia menjelang Kejohanan Dunia di Paris minggu depan.
Menurut bekas juara Sukan Olimpik Rio 2016 itu, kejayaan sebenar datang daripada tempoh panjang penuh kesabaran, disiplin dan keyakinan diri, bukan sekadar berpaksikan satu keputusan semata-mata.
“Zii Jia, saya tahu betapa beratnya beban satu negara di atas bahu anda. Saya pernah berada di situ. Tekanan, keraguan, dan harapan yang tidak pernah putus.
“Tetapi ingat, juara tidak lahir daripada satu perlawanan sahaja. Mereka dibentuk melalui kesabaran, disiplin dan keyakinan diri,” kata Chen Long menerusi laman sosial miliknya.
Bekas juara dunia dua kali itu turut mengingatkan Zii Jia agar tidak membiarkan kegagalan lalu menjadi penghalang, sebaliknya menjadikannya pengajaran untuk kembali lebih kuat.
Beliau percaya bahawa anak jati Alor Setar, Kedah itu masih mempunyai masa untuk berada di kemuncak.
“Jangan biarkan satu kekalahan menentukan masa depan anda. Belajar daripadanya. Percaya pada latihan dan percaya pada diri sendiri.
“Bermain dengan tenang kerana kekuatan tanpa ketenangan adalah sia-sia,” katanya.
Di Paris, Zii Jia diundi menentang pemain No.1 Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin pada pusingan pertama sebelum dijangka berdepan pilihan keempat dari China, Li Shi Feng di pusingan kedua.
Jika mara lebih jauh, laluan berliku bakal menantinya dengan cabaran pemain China, Lu Guang Zu dan kemungkinan bertemu wakil Jepun, Kodai Naraoka di suku akhir sebelum pemain No. 1 dunia, Shi Yu Qi menunggu di separuh akhir.
Zii Jia sebelum ini berehat lebih lima bulan akibat kecederaan buku lali dan kembali dengan ranking perlindungan BWF, sekali gus menyaksikan kedudukannya merosot ke tangga ke-52 dunia.-UTUSAN










