KUALA LUMPUR: Model dan pelakon, Haneesya Hanee, 25, sedia berdepan kritikan gara-gara pendedahan mengenai kisah kelab malam membabitkan dia dan beberapa bekas peserta sebuah program pencarian bakat sekitar lapan tahun lalu dalam sebuah wawancara yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Haneesya, menerusi TikTok memaklumkan, dia enggan terus membiarkan dirinya menjadi mangsa hentaman netizen justeru sedia berkongsi perkara sebenar untuk menutup mulut-mulut yang mengecamnya.
“Saya bukan lagi berusia 18 tahun, malah sudah dewasa. Bagi yang masih marahkan saya yang berusia 18 tahun dahulu, teruskan.
“Lapan tahun saya bergelut dengan kesihatan mental, tanggung rasa bersalah dan mengharapkan orang maafkan saya.
“Jadi, bila video wawancara itu keluar nanti, saya nak lihat berapa ramai yang akan tergigit lidah sendiri,” katanya.
Haneesya baru-baru tampil meluahkan rasa kecewa apabila rakaman lama ketika dia dan beberapa peserta program berkenaan berada di kelab malam kembali ditularkan netizen di media sosial.
Penularan semula video itu membuatkan pelakon ini kembali dikecam.
Kata Haneesya lagi, dia juga tidak mahu lagi terus berdiam diri mengenai kejadian itu dan berharap pendedahannya itu nanti dapat menhghentikan segala kecaman yang ditujukan kepadanya.
“Dalam temu bual itu, saya luah segalanya tanpa berselindung. Itu akan menjadi kali yang terakhir saya bercakap mengenainya,” kongsinya lagi.- UTUSAN