Kolej kediaman UiTM Shah Alam sedang dinaik taraf

Kolej kediaman UiTM Shah Alam sedang dinaik taraf

Kolej kediaman UiTM
TIMBALAN Naib Canselor HEP UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi (duduk, kanan) melawat mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman, di UiTM Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang menaik taraf beberapa blok kolej kediaman lama terutama di kampus induknya di sini, bagi membolehkan lebih ramai mahasiswanya menerima kemudahan penginapan.

Ini kerana, universiti itu menyasarkan untuk mencapai nisbah 60 peratus mahasiswa tinggal di kolej berbanding non-residen dan akan ditingkatkan kepada 70 peratus selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, pihaknya mengakui isu penempatan kolej kediaman lebih ketara di kampus induk berikutan keterbatasan kawasan pembangunan bagi menambah kemudahan baharu.

“Pelbagai langkah antisipatif dan proaktif dilaksanakan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap cabaran penempatan mahasiswa. Isu penempatan kolej kediaman lebih ketara di UiTM Shah Alam.

“(Justeru) Proses pemilihan mahasiswa ke kolej kediaman pula dilaksanakan secara telus melalui jawatankuasa kolej yang diketuai oleh pengetua masing-masing.

“UiTM turut mewujudkan pelbagai inisiatif alternatif bagi mereka yang tidak mendapat tempat di kolej kediaman, antaranya melalui portal rasmi Non-Resident (NR) di https://nr.uitm.edu.my yang menyediakan senarai rumah sewa berhampiran kampus dan dikemas kini secara berkala,” katanya, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, UiTM menerima peruntukan sebanyak RM238 juta bagi tujuan membaiki dan menyelenggara kolej kediaman serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara berperingkat dalam tempoh 2021 hingga tahun ini.

Daripada jumlah itu sahaja sebanyak RM170 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan dan baik pulih kolej kediaman di kesemua 34 kampus cawangan UiTM di seluruh negara.

Bagaimanapun, HEP UiTM menafikan dakwaan wujud desakan daripada mahasiswa universiti itu supaya Timbalan Naib Canselor meletakkan jawatan berhubung isu penempatan mahasiswa.

“Dakwaan berunsur tuduhan itu adalah tidak benar, tidak berasas, serta boleh menjejaskan reputasi universiti dan pegawai kanan yang disebut,” jelasnya.

Kata jabatan itu lagi, UiTM turut menyediakan kemudahan lain seperti perkhidmatan sokongan termasuk perkhidmatan bas UiTM, RapidKL dan SmartSelangor bagi mahsiswa luar kampus.

“Turut disediakan bakul makanan dan bantuan kewangan bagi pelajar yang memerlukan turut diberikan. Pemantauan keselamatan dan kebajikan pelajar luar kampus melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta jawatankuasa penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN