MELAKA : “Dia memang teringin sangat nak naik pentas ambil sijil tapi tak sempat.”
Demikian luahan pilu Rahmah Syukura Abd Hamid, 47, ketika menerima sijil bagi pihak anaknya, Allahyarham Ahmad Fikry Yusof, 21, dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di MITC, Ayer Keroh, di sini.
Wanita yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah kilang itu kini hidup tanpa suami dan dua anak lelaki dalam tempoh kurang empat tahun.
Allahyarham Ahmad Fikry merupakan pelajar Sijil Teknologi Maklumat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan meninggal dunia pada Oktober tahun lalu selepas disahkan menghidap Kanser Limfoma.
“Sebenarnya, tinggal dia dengan saya saja, ayah dia dah meninggal, abang dia pun sama, tinggallah kami berdua.
“Sebelum dia sakit, dia dah mula bekerja, tapi doktor pun tak dapat kesan awal, akhirnya, barulah mereka sahkan arwah mendapat kanser limfoma,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini, hari ini.
Anak sulungnya, Ahmad Yusry Yusof dan suaminya, Yusof Abu Bakar, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada tahun 2021, menjadikan Ahmad Fikry satu-satunya harapan terakhir Rahmah.
“Semasa menerima sijil tadi, saya hanya mampu tahan air mata, memang dia teringin sangat nak naik pentas sendiri.
“Saat akhir sebelum dia pergi, dia cakap yang dia sayang saya, itu yang paling saya ingat sampai bila-bila,” ujarnya yang menetap di Taman Seri Bertam, Bertam Ulu.
Majlis yang sepatutnya menjadi hari bahagia buat Ahmad Fikry bertukar menjadi momen penuh emosi buat ibunya, yang kini meneruskan hidup bersendirian tanpa insan-insan tersayang di sisi. – UTUSAN










