Heritage Ride Taiping 2025 sasar 2,000 peserta

Heritage Ride Taiping 2025 sasar 2,000 peserta

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh (tengah) bergambar bersama barisan penaja pada Sidang Media The Heritage Ride Taiping 2025, di sini, hari ini.- UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Acara berbasikal lebuh raya Heritage Ride Taiping 2025 dijangka menarik penyertaan sehingga 2,000 peserta apabila penganjur mengumumkan lanjutan tempoh pendaftaran sehingga 24 September ini.

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh, berkata acara kali kedua itu akan berlangsung pada 30 November depan bermula di Dataran Warisan Taiping.

Menurutnya, tarikh penyertaan akan ditutup pada 24 September ini, namun penyertaan yang meriah sehingga 1,700 orang setakat ini menyaksikan penganjur melanjutkan tarikh tutup sehingga 24 September ini.

“Setakat ini, seramai 1,700 orang telah berdaftar melepasi sasaran awal 1,500 peserta. Kita yakin penyertaan akan terus meningkat kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan termasuk daripada peserta luar kawasan.

“Justeru, kita telah pun melanjutkan tempoh pendaftaran untuk satu bulan lagi dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 orang peserta akan melibatkan diri.

“Heritage Ride ini bukan sekadar acara sukan, tetapi platform untuk merancakkan industri pelancongan Taiping, membina ekosistem pelbagai acara dan pada masa sama menonjolkan keunikan bandar ini yang kaya dengan warisan serta sejarah,” kata Kah Woh kepada pemberita pada sidang akhbar The Heritage Ride Taiping 2025, di sini, hari ini.

Heritage Ride menawarkan tiga kategori iaitu 90 kilometer (km) dan 60km kompetitif serta 20km Fun Ride yang merentasi Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting dengan suasana alam semula jadi Perak.

Bagi menggalakkan golongan muda, sebanyak 200 slot khas untuk pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun disediakan secara percuma hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Taiping dipilih sebagai lokasi kayuhan kerana bandar ini sarat dengan nilai warisan termasuk muzium pertama, penjara pertama dan stesen kereta api pertama di negara ini.

Selain itu, peserta juga akan melalui kawasan ikonik seperti Esplanade serta Raintree Walk di Taman Tasik Taiping yang berusia lebih 140 tahun, menjadikan acara ini lebih bermakna sebagai gabungan sukan, sejarah dan pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN