Hampir hilang mata pencarian akibat kemalangan - Utusan Malaysia

Hampir hilang mata pencarian akibat kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang tukang jahit hampir kehilangan mata pencarian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki kanan susulan terlibat nahas dengan sebuah kereta pada Disember tahun lalu.

Kecederaan itu memaksa R. Ganagammal, 54, membatalkan tempahan pelanggan sekaligus menjejaskan pendapatan bulanannya.

Katanya, dia berasa kecewa dan sedih apabila doktor memaklumkan tulang kaki kanannya patah dan memerlukan masa panjang untuk pulih.

“Doktor sarankan saya berehat daripada menjahit kerana melibatkan pergerakan kaki. Hampir dua bulan saya tidak menjahit dan banyak tempahan pelanggan terpaksa dibatalkan atau ditolak. 

“Kaki kanan masih lemah kerana tulang kaki belum bercantum. Saya kini sedang berusaha menjahit menggunakan kaki kiri memandangkan saya bukan kidal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Sri Pengkalan di sini, baru-baru ini.

Ganagammal merupakan antara tiga penerima wang tunai berjumlah RM500 sumbangan Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi Program Hati Mulia dengan kolaborasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tambah Ganagammal, kaki kanannya hampir 80 peratus pulih selepas dua bulan mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso.

Menurutnya, meskipun mampu berjalan tanpa bantuan tongkat dan kerusi roda, namun pergerakannya agak terbatas.

“Walaupun semakin sembuh saya tidak boleh duduk sahaja dengan mengharapkan ihsan atau bantuan daripada ahli keluarga dan jiran. Jadi saya mula mengambil tempahan menjahit baju mengikut kemampuan. 

“Setidaknya saya ada pendapatan setiap bulan yang boleh digunakan untuk menyara diri dan membayar komitmen bulanan,” katanya yang berpengalaman hampir 40 tahun sebagai tukang jahit.

Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.

Tonton dan sokong kisah pilihan anda.

https://www.utusan.com.my/kempen-hati-mulia-2025/

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN