TORONTO: Taylor Fritz dan Ben Shelton melangkah ke separuh akhir Masters Toronto sekali gus mencipta pertembungan sesama pemain Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Fritz, pilihan kedua kejohanan, menewaskan Andrey Rublev 6-3, 7-6 (7/4) dalam masa 83 minit walaupun hampir terganggu ketika cuba menamatkan aksi set kedua.
Shelton pula mara selepas mencatat kemenangan straight set 6-3, 6-4 ke atas pemain Australia, Alex de Minaur dalam tempoh 91 minit.
“Ia kemenangan yang tunjukkan kekuatan mental saya dari mula hingga akhir.
“Kemenangan ini beri saya keyakinan tinggi, dan orang selalu anggap saya hanya bergantung pada servis, tetapi saya juga mampu menang dalam rali panjang,” kata Shelton.
Shelton menamatkan tujuh kemenangan berturut-turut De Minaur dan mengesahkan tempat ke separuh akhir Masters pertamanya.
Fritz mengakui berdepan tekanan ketika cuba menamatkan aksi pada kedudukan 5-4 dan kehilangan servis selepas melakukan kesilapan mudah.
“Permainan itu tiba-tiba jadi tegang, saya rasa otak saya seakan tertutup.
“Namun saya cuba kembali fokus dan menang set itu… itu yang menjadikan kesilapan tadi tidak rasa terlalu teruk,” kata Fritz.
Fritz kembali bangkit menamatkan aksi menerusi tie break dan mencatat 20 ace, rekod peribadi bagi perlawanan tiga set, serta 29 winner.
Pemain dari California itu kini menang 19 daripada 22 perlawanan terakhirnya termasuk mara ke separuh akhir Wimbledon bulan lalu. – AGENSI