PONTIAN: Dua warga negara Thailand maut manakala seorang parah dan tiga lagi cedera ringan selepas kediaman mereka di Lorong Manggis, Batu 36, Jalan Johor-Pontian terbakar kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, PPgB Mahadir Mamat berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Nasri, 31, dan Masabuding, 37, ditemui di tingkap dan bawah runtuhan bumbung.
Empat mangsa lain, termasuk yang cedera parah, dihantar ke Hospital Pontian menggunakan EMRS. Seorang lagi penghuni terselamat.
Beliau memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.00 pagi dan mengerahkan 15 anggota bersama sebuah jentera BBP Pontian, dua jentera FTR, serta sebuah EMRS dari BBP Pekan Nanas. Rumah setingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 40 kaki itu musnah 80 peratus akibat kebakaran.
“Pemadaman menggunakan dua aliran 200 kaki pancutan berjaya memadamkan api sepenuhnya. Operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 11.15 pagi,” katanya.
Mahadir menegaskan punca kebakaran masih dalam siasatan, manakala pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi langkah keselamatan kebakaran di kediaman. – UTUSAN










