Bihun sup daging segenggam, rasa padu daripada Pendang

Bihun sup daging segenggam, rasa padu daripada Pendang

CHE Mah Abdullah di hadapan restorannya yang tular sejak 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENDAPAT jolokan daging segenggam atau daging berlambak, itu pemulanya bagaimana Restoran Kak Mah Bihun Sup tular bukan sahaja di Pendang dan Kedah malah seluruh negara.

Pemiliknya, Che Mah Abdullah, 69, bercerita, ketika negara berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dahulu ada pengedar makanan sanggup datang dari Kuala Lumpur dan Perak untuk membeli bihun sup tersebut bagi memenuhi keinginan pelanggan mereka.

NASI bujang Kak Mah Bihun Sup, dan ABC yang istimewa.

“Waktu PKP itu banyak orang ‘mengidam’ bihun sup ini setelah gerai kami tular pada 2019. Mereka sanggup tempah dari pengedar makanan walaupun jauh kerana hendak merentas negeri tidak boleh.

“Alhamdulillah, jualan ketika itu sangat tinggi walaupun PKP sampai tidak menang tangan walaupun hanya untuk penghantaran bayaran tunai (COD) sahaja,” katanya ketika ditemui di restoran tersebut baru-baru ini.

Hakikatnya, bihun sup berlambak daging yang tular itu dimasak dengan penuh kasih sayang oleh Che Mah dan suami, Salleh Nayan, 70, sejak 1984.

 

Restoran mereka juga bermula di pekarangan rumah di Paya Kercut, Pendang ketika itu sebelum terpaksa berpindah ke tapak hari ini setelah ratusan pelanggan menyerbu premis itu untuk menjamu selera setiap hari.

“Gerai kami tular pada 2019 setelah seorang pelanggan membuat hantaran di media sosial dan pelanggan tertarik sebab daging selambak di atas bihun sup ini. Walaupun negara terpaksa PKP namun bisnes jalan dari rumah dan buat tempahan,” jelasnya.

Setiap hari pemilik restoran ini memasak sehingga 40 kilogram (kg) daging lembu malah berganda ketika musim perayaan bagi memenuhi permintaan pelanggannya di samping 10 kg perut dan keting.

Menurut Che Mah, mereka hanya menggunakan daging tempatan bukan import dalam masakan sup tersebut yang menjadikan hidangan lebih segar hasil rembesan kemanisan air daging itu.

Kak Mah Bihun Sup

Alamat:
Lot Kedai No 1 dan 2,
Kampung Gajah Mati,
Pendang, Kedah
Operasi:
11.30 pagi hingga 6.30
*Petang (Jumaat-tutup)

Apa lagi yang buat restoran ni meletup dan tular? Jawapannya senang, selain daging segenggam penuh, ia juga kerana sambal pedas sampai meleleh peluh, dan sup yang pekat, wangi adunan herba resipi rahsia keluarga ini.

 

Menu utama bihun sup di sini barangkali nampak biasa sahaja seperti kedai lain, namun adunan sup daging yang padu dihiasi sambal dan tabur daun sup segar menjadikan restoran ini tarikan utama di Pendang.

 

Antara menu tambahan yang sering jadi pilihan termasuk bihun sup perut, bihun sup urat keting, moi sup dan nasi bujang yang menjadi sangat popular ketika ini bagi mereka yang ingin makan tengah hari.

 

Semangkuk nasi dihidang bersama sup daging atau perut, sebiji telur dadar dan air ayam yang menawan selera pelanggannya cuma pada harga RM7 hingga RM11 sahaja.

 

“Menu ini kami buat sebab waktu tengah hari ada pelanggan suka makan nasi dan memang jadi pilihan. Adakalanya terpaksa tanak berperiuk nasi,” kata Che Mah.

 

Sememangnya harga di restoran ini sangat mesra dompet pelanggan kerana untuk bihun sup segenggam daging dan sambal ‘power’, semua dari RM6 hingga RM10 bagi yang menginginkan campuran daging, perut dan keting. Terdapat pelbagai jenis minuman air bancuh untuk dinikmati bersama hidangan utama termasuk laichikang dan air batu campur (ABC). ABC di sini agak Istimewa kerana menggunakan kacang merah yang dimasak sendiri oleh Che Mah setiap hari.

 

Operasi restoran ini bermula dari pukul 11.30 pagi namun ada harinya makanan di situ sudah kehabisan usai waktu Asar terutama pada hujung minggu.

 

Tentu sahaja restoran ini tidak kelihatan fancy atau hipster seperti premis lain, kerana ia hanya berdekorasi meja dan kerusi plastik serta kipas berdiri namun suasana kampung di Gajah Mati yang sangat bersejarah ini . -menjadikannya hidup.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN