PONTIAN: Perjalanan pulang seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari tempat kerja di Kempas berakhir dengan tragedi setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya di KM49.5 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat berdekatan Kampung Jasa Sepakat, di sini, semalam.
Ketika kejadian mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan balik ke rumahnya di Pontian bergesel dengan seorang penunggang basikal di laluan sama.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 8.00 malam apabila kedua-dua mereka dari arah yang sama ke Pontian telah bergesel menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di atas jalan.
Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Adnan Mohamed Nor, 56, yang beralamat di Taman Seri Semerah, Jalan Parit Semerah, Pontian.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah bahagian kepala. Manakala basikal tersebut dinaiki oleh seorang lelaki dikenali sebagai M. Gannsan berusia 52 tahun mengalami kecederaan bahagian kepala, lebam pinggang kanan dan calar lengan kiri dan dihantar ke Hospital Pontian (HP) bagi mendapat rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan motosikal ditunggangi oleh Adnan bergesel dengan basikal yang tidak berlampu di laluan gelap.
“Sekiranya ada saksi berkaitan kejadian kemalangan ini, sila tampil di Pejabat Trafik IPD Pontian atau hubungi Inspektor Wan Mohd. Hairi Wan Ahmad di talian 0123450565 untuk membantu siasatan ini,” jelasnya. – UTUSAN









