PETALING JAYA: Detik penuh bermakna tercipta di Ahmedabad apabila Aznil Bidin menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025.
Sorakan gemuruh dan lagu Negaraku bergema selepas atlet berusia 31 tahun itu menjuarai kategori baharu bawah 65 kilogram (kg).
Aznil mencatat angkatan keseluruhan 297kg hasil 125kg dalam snatch dan 172kg clean & jerk yang meletakkannya di tangga teratas podium.
Lebih dramatik, dia menewaskan wakil tuan rumah, Raja Muthupandi yang ketinggalan satu kilogram untuk sekadar meraih perak dengan 296kg.
Gangsa pula menjadi milik lifter Papua New Guinea, Morea Baru selepas menamatkan cabaran dengan jumlah 292kg.
Kejayaan itu membuka laluan lebih cerah untuk Aznil layak secara automatik ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas kategori lamanya bawah 67kg dimansuhkan.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menyifatkan emas tersebut sebagai bukti kesungguhan luar biasa atlet negara di pentas dunia.
“Tahniah kepada pasukan Malaysia atas kejayaan hari ini terutama Aznil. Jika diikutkan dengan pingat emas yang diraih Aznil, sepatutnya layak ke Sukan Komanwel. Kita akan tahu secara rasmi selepas berakhir kejohanan nanti, insya-Allah,” katanya.
Turut mencuri perhatian ialah rakan sepasukan, Mohamad Aniq Kasdan yang mempamerkan semangat kental apabila meraih perak bawah 60kg meskipun dihantui kecederaan bahu. – UTUSAN