PETALING JAYA: Kem pecut negara membawa pulang berita gembira apabila merangkul pingat emas dan gangsa masing-masing daripada Muhammad Azeem Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee pada aksi final 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Terbuka India, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Kalinga itu menyaksikan Azeem melakukan catatan masa 10.35 saat (s) menewaskan Chamod Yodasinghe dari Sri Lanka dengan 10.43s manakala gangsa menjadi milik Danish (10.50s).
Sementara itu, ratu pecut negara, Zaidatul Husnia Zulkifli yang turut mara ke final 100m wanita lain pula kisahnya apabila dia tidak mengambil bahagian pada aksi tersebut selepas statusnya mencatatkan DNS (tidak memulakan perlumbaan).
Atlet tuan rumah mendominasi acara itu selepas ketiga-tiga pingat dimenangi oleh mereka apabila emas dimenangi oleh Abinaya Rajarajan yang melepasi garisan penamat dengan 11.57s, perak milik S. S Sneha (11.70s) dan gangsa, Nithya Gandhe (11.70s).
Bagi acara 800m lelaki pula menyaksikan wakil negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh selepas melakukan catatan 1:50.27s.
India menggondol kesemua pingat pada acara tersebut selepas emas dimenangi oleh Mohammed Afsal Pulikkalakath yang menamatkan larian 1:46.60s manakala perak milik Prakas Balu Gadade (1:47.14s) dan gangsa, Krishan Kumar (1:48.00s). – UTUSAN