LONDON: Karier Michail Antonio bersama West Ham berakhir selepas kelab itu memutuskan untuk tidak menawarkan kontrak baharu kepadanya.
Penyerang berusia 35 tahun itu tidak beraksi sejak mengalami kemalangan kereta yang menyebabkan kakinya patah teruk pada Disember lalu.
Antonio yang juga pemain antarabangsa Jamaica berhasrat kembali bermain tetapi bukan lagi bersama The Hammers.
“Michail akan sentiasa menjadi ahli keluarga West Ham United yang dikasihi dan dihormati,” kata kelab dalam satu kenyataan rasmi.
“Seperti sejak Disember lalu, kelab akan terus menyokong dan membantu proses pemulihannya dengan menyediakan akses ke fasiliti dan rawatan perubatan,” tambah kenyataan itu.
Antonio masih berbincang dengan pihak pengurusan berkenaan kemungkinan mengambil peranan bukan pemain di kelab itu.
Sepanjang 10 musim, dia mencatat 83 gol dalam 323 penampilan dan menjadi penjaring terbanyak kelab itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Dia juga sebahagian daripada skuad yang membantu West Ham menamatkan kemarau kejuaraan sejak 1980 dengan menjulang Liga Konferensi Eropah pada 2023.