Zulfahmi: Pelumba kini bergelar pengurus

Zulfahmi: Pelumba kini bergelar pengurus

Zulfahmi (kanan) bersama pelumba yang berada di bawah bimbingannya, Hakim Danish. - FB ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI peminat sukan bermotor, nama Zulfahmi Khairuddin sememangnya tidak asing lagi. Tetapi, untuk yang kurang mengenalinya, dia merupakan pelumba Malaysia pertama yang berjaya mencatat keputusan podium selaku pesaing tetap dalam kategori Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia.

Zulfahmi muncul naib juara pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang dan tempat ketiga di GP Valencia tahun yang sama.

Selepas melakukan penampilan terakhir selaku pelumba Moto2 pada 2018, anak jati Banting, Selangor itu mengambil keputusan bersara dan beralih angin kepada bidang pembangunan bakat muda dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali merupakan individu penting yang berada di belakang Zulfahmi dan menjadi pendorong terkuat untuknya maju di dalam bidang tersebut.

Zulfahmi, 33, berkata, selain menjadi tulang belakang sewaktu masih bergelar pelumba, Razlan juga bertanggungjawab memberikan tunjuk ajar untuk dia terbabit di dalam bidang pengurusan.

“Datuk Razlan adalah individu yang tak henti-henti bagi semangat walaupun kadang-kadang saya pernah patah semangat dan dialah orang yang sentiasa menasihati saya supaya teruskan usaha dalam bidang pemotoran,” katanya ketika ditemu bual Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Kini, menggalas tugas sebagai Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi turut tidak melupakan CEO SIC, Azhan Shafriman Hanif yang sentiasa memberi kepercayaan kepadanya untuk menguruskan SIC Racing.

“Selain Razlan, Azhan Shafriman sudah semestinya antara individu penting yang tidak asing lagi dalam karier saya di SIC Racing.
“Azhan Shafriman percaya kepada saya uruskan pasukan dan segala pembaharuan dia bawa di SIC sangat membawa manfaat kepada saya untuk membentuk pasukan lebih berjaya,” katanya.

Di atas kerja keras itu, Zulfahmi akhirnya berjaya membina karier yang lebih stabil dan beliau merupakan insan yang bertanggungjawab melahirkan bakat-bakat muda seperti Hakim Danish Ramli, Qabil Irfan Azlan, Syarifuddin Azman (Damok) dan Danial Syahmi Ahmad Shahril.

Ketika ditanya mengenai sumbangannya dalam melahirkan pelumba-pelumba muda berbakat, Zulfahmi berkata, dia bermula dengan program akar umbi iaitu Kejohanan Motosikal MiniGP yang dianjurkan saban tahun bagi mencari bakat-bakat muda.

“Melalui MiniGP, pelumba-pelumba berbakat dikenal pasti dan Qabil Irfan antara pelumba yang dilahirkan daripada MiniGP sehingga pernah menjadi juara dunia pada 2023,” katanya.

Selain Qabil Irfan yang baru berusia 13 tahun, Zulfahmi turut berjaya membentuk bakat Hakim Danish yang kini beraksi di dalam Piala RedBull MotoGP Rookies dan Kejohanan Dunia FIM JuniorGP.

Hakim Danish merupakan anak Malaysia pertama menjuarai Asia Talent Cup 2022 dan mencatat keputusan podium pada Piala RedBull MotoGP Rookies serta JuniorGP.

Anak jati Terengganu yang berusia 17 tahun itu kini menghuni kedudukan teratas dalam carta Piala RedBull MotoGP Rookies, musim ini, dengan 154 mata, manakala, Qabil Irfan pula mengungguli ESBK Talent Cup selepas mengumpul 173 mata.

Mengulas mengenai dua pelumba bimbingannya itu, Zulfahmi berkata, baik Hakim Danish mahupun Qabil Irfan, kedua-duanya merupakan pelumba berbakat besar yang memiliki masa depan cerah di pentas antarabangsa.

“Saya betul-betul gembira dengan sikap rajin mereka berdua ini, malah, ciri-ciri yang ada dalam diri Danish dan Qabil jarang kita temui pada banyak pelumba,” katanya.

Kata Zulfahmi lagi, pengalamannya di pentas Eropah selaku pelumba dan juga pengurus pasukan, turut banyak membantunya mengendalikan SIC Racing dengan lebih teratur.

“Pengalaman saya di Eropah sangat berbeza semasa bergelar pelumba, jadi, apabila saya sendiri yang menguruskan SIC Racing, saya perbaiki mana-mana kekurangan yang ada dan kita mula nampak keputusan positif menerusi Danish serta Qabil,” katanya.

Berterima kasih di atas sokongan dan bantuan oleh SIC dan juga Kementerian Belia dan Sukan, Zulfahmi berkata, Hakim Danish serta Qabil Irfan merupakan bukti bahawa Malaysia mempunyai bakat-bakat hebat yang mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN