LONDON: Bos Mercedes, Toto Wolff mempertahankan ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur yang kini menerima kritikan hebat kerana mereka tidak dapat mencari pemandu yang lebih baik.
Jangkaan tinggi diberikan terhadap Ferrari pada musim ini selepas pasukan Itali itu menamatkan musim 2024 sebagai naib juara dalam kejuaraan pengeluar dan menandatangani juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari Mercedes.
Namun, musim Ferrari setakat ini mengecewakan dan kurang memberangsangkan apabila mereka gagal bersaing untuk kemenangan manakala Hamilton masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera SF-25.
Vasseur telah menerima kritikan daripada peminat dan media Itali akibat prestasi tersebut dan baru-baru ini terdapat khabar angin mengatakan Ferrari sedang mempertimbangkan untuk membuat perubahan namun dinafikan oleh Vasseur.
Kini, rakan sejawatannya dari Mercedes, Wolff memberikan sokongan padu kepada Vasseur dan menggesa agar Ferrari diberi masa serta kestabilan yang diperlukan.
“Dalam Formula 1 (F1), anda tidak boleh membeli masa dan anda perlu memberi kepimpinan atasan masa untuk menguasai keadaan.
“Jean Todt, kalau tidak silap saya menyertai Ferrari pada 1993. Mereka memenangi kejuaraan pertama pada 2000. Lapan tahun. Memang begitulah keadaannya. Ia berlaku mengikut kitaran.
“Tengok kami. Saya sendiri tidak suka berada dalam fasa di mana ini tahun ketiga berturut-turut kami tidak bertarung untuk kejuaraan. Tapi kami bukan tak berguna. Kami ada hujung minggu yang hebat. Kami masih menang perlumbaan. Kadangkala boleh dibanggakan.
“Apabila prestasi tidak bagus, tiada siapa pun mempersoalkan sama ada orang tertinggi sedang melakukan tugas dengan baik atau tidak.
“Berilah dia ruang. Biarkan dia bekerja. Benarkan dia membentuk organisasi yang tidak akan menjadi sempurna dari hari pertama. Loic (Serra) baru berada di sana enam atau tujuh bulan. Mereka perlu diberi peluang,” kata Wolff. – AGENSI