Warga emas tahan sakit lutut selamatkan diri daripada rentung - Utusan Malaysia

Warga emas tahan sakit lutut selamatkan diri daripada rentung

RAHMAH Omar (duduk) bersama anaknya menunjukkan rumah mereka yang terbakar di Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang warga emas terpaksa menahan kesakitan pada bahagian lulut semasa keluar menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Tok Uban di sini terbakar petang semalam.

Kejadian pukul 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa Rahmah Omar, 70, sedang berada di dalam bilik untuk mandi dan mengambil wuduk bagi menunaikan solat Zohor.

Menurutnya, sebaik sahaja keluar dari bilik air dia terkejut mendapati rumahnya sudah terbakar selain terdengar bunyi letupan kecil.

“Awalnya saya mahu masuk ke dalam bilik untuk mengambil wang simpanan dan dokumen namun terpaksa membatal hasrat itu disebabkan oleh lulut sakit.

“Sambil menahan sakit, saya berjalan perlahan-lahan keluar untuk menyelamatkan diri. Semasa kejadian saya berseorangan kerana anak keluar bekerja sementara cucu bersekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Rahmah memberitahu, dia hanya mampu melihat kejadian itu dari jauh kerana api marak terlalu cepat.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan wang simpanan lebih RM5,000 hangus selain tinggal sehelai sepinggang.

“Bagaimanapun saya lega kerana terselamat dalam kebakaran tersebut.

“Ketika ini saya tumpang berteduh di rumah kakak buat sementara waktu,” ujarnya.

Sementara itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Pegawai Bomba Kanan II
Azmi Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 petang.

Katanya, setiba di lokasi bomba mendapati rumah tersebut sudah hangus sebanyak 70 peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN