LONDON: Bos Mercedes, Toto Wolff secara terbuka menyatakan pemandu Red Bull, Max Verstappen tidak berada dalam senarai mereka untuk memandu jentera pasukan bagi menghadapi saingan Formula Satu (F1) pada musim hadapan.
Wolff berkata dia menaruh keyakinannya terhadap dua pemandu sedia ada, George Russell dan Andrea Kimi Antonelli walaupun terdapat spekulasi yang mengaitkan Verstappen dengan perpindahan ke Mercedes.
Russell masih belum menandatangani kontrak untuk musim 2026 dan Wolff sebelum ini memberi bayangan bahawa dia berminat dengan Verstappen.
Namun menjelang Grand Prix (GP) Belgium hujung minggu ini, Wolff telah menjelaskan siapa yang dia jangka akan memandu jentera Mercedes pada tahun depan.
“Perbincangan telah berlangsung sejak beberapa minggu dan bulan lalu. Jadi semuanya telah dikemas kini. Arah tuju kami jelas, kami mahu meneruskan dengan George dan Kimi. Itu adalah keutamaan mutlak.
“Namun, anda tidak boleh menafikan seseorang seperti Max dan rancangan masa depannya. Kami sudah meneliti perkara itu tetapi saya tidak fikir akan ada kejutan besar,” kata Wolff.
Juara dunia bertahan, Verstappen kini kelihatan lebih cenderung untuk kekal bersama Red Bull pada 2026 malah dia memiliki kontrak bersama pasukannya hingga akhir musim 2028.
Verstappen berada di kedudukan ketiga dalam senarai kejuaraan F1 di belakang dua pemandu McLaren iaitu Oscar Piastri dan Lando Norris dan harapannya untuk merangkul gelaran juara dunia kelima berturut-turut kelihatan semakin tipis. – AGENSI