Uptown D Kukup Meriahkan Pekan Kukup Laut

Uptown D Kukup Meriahkan Pekan Kukup Laut

MARZURENA Zulkifli menyediakan Laksa Penang yang dijual di Uptown D Kukup di Pekan Kukup Laut, di Pontian, disini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Penganjuran Uptown D Kukup di Pekan Kukup Laut, Pontian sejak Khamis lalu disambut baik penduduk tempatan yang melihatnya sebagai peluang merancakkan semula kawasan itu dan menambah pendapatan.

Program yang berlangsung setiap Khamis hingga Ahad itu diadakan berhampiran Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK), lokasi tumpuan pelancong termasuk dari Singapura.

Seorang peniaga, Hafizan Abd. Hamid, 45, berkata, dia mula berniaga nasi ayam penyet di uptown itu bersama jirannya setelah ditawarkan ruang niaga oleh penganjur, Firdarus Enterprises.

“Saya bekerja di TFAK pada hari biasa, dan berniaga bersama anak, Rosenda Nurakmiri, 18, sebagai sumber pendapatan tambahan. Alhamdulillah, uptown ini beri peluang ekonomi kepada penduduk,” katanya di sini hari ini.

Marzurena Zulkifli, 38, pula memilih menjual laksa Pulau Pinang dan oden secara bersendirian bagi melanjutkan jualan dari perniagaan dalam talian dan pasar malam.

“Sambutan amat menggalakkan. Hari pertama saya berjaya raih jualan kasar RM1,000. Ramai pelancong dan pengunjung suka menu yang ringkas dan mudah,” katanya yang tinggal di Kampung Melayu, Kayu Ara Pasong.

Sementara itu, nelayan Mohamad Firdaus Jamaludin, 40, berniaga T-shirt pada hujung minggu di uptown tersebut.

Dia yang  berkerja sebagai nelayan dan membawa pemancing ke laut pada hari biasa menyambut baik pembukaan Uptown D Kukup kerana dapat memeriahkan lagi Pekan Kukup khususnya pada hujung minggu.

Sementara itu, penganjur, Mohd. Firdarus Razali, 39, berkata, sebanyak 46 vendor atau gerai telah disediakan kepada peniaga yang berminat menjalankan perniagaan mereka.

Katanya, pelbagai jenis jualan ditawarkan di Uptown D Kukup ini daripada makanan dan minuman, pakaian, permainan kanak-kanak selain beberap pertandingan nyanyian bagi menarik kedatang pelawat.

“Uptown D Kukup ini diadakan dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup bertujuan memeriahkan suasana di Pekan Kukup Laut dimana ramai pengunjung datang untuk  bercuti pada hujung minggu  termasuk warga negara Singapura,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN