BATU PAHAT: Sebuah kapal tangki ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kerana didapati bersauh secara haram di perairan Batu Pahat, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Bridgetown itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada pukul 12.30 tengah malam tadi di kedudukan 12.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting setelah nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika pemeriksaan.
Kapal terbabit dikendalikan 18 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga India yang berumur diantara 22 hingga 45 tahun dengan semuanya mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kapal tangki itu berlepas dari Dubai kemudian memasuki Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka untuk membawa muatan tar sebanyak 6,894 tan metrik dan seterusnya dalam perjalanan menuju ke Vietnam.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohammad Zaini turut menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan dan nakhoda kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras aktiviti berlabuh secara haram. – UTUSAN










