UMT agih RM3 juta geran penyelidikan dan inovasi

UMT agih RM3 juta geran penyelidikan dan inovasi

TIMBALAN Naib Canselor UMT Prof Dr Izani Zain menyampai anugerah kepada seorang penerima di Kuala Nerus baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan kelautan dan sumber akuatik melalui pengagihan geran dalaman bernilai sehingga RM3 juta.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, dana berkenaan disalurkan melalui pelbagai skim khusus di bawah Teras Penyelidikan dan Inovasi bagi memacu pembangunan ilmu serta penghasilan inovasi berimpak tinggi.

“Dana Khas ini berjumlah antara RM1.5 juta hingga RM3 juta dan diagihkan melalui skim seperti Strategic Research Grant, TAPE-RG, IPRG, Matching Grant 1+3 dan ICE Incubator.

“Langkah ini bertujuan memastikan kesinambungan penyelidikan secara berstruktur serta menyokong usaha pengkomersialan hasil penyelidikan,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi Penyelidikan dan Inovasi (MAPI) 2025 semalam.

Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif itu selari dengan tujuh Fokus Utama dan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Mohd Zamri menegaskan, UMT komited menjadi institusi unggul dalam penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat terus kepada masyarakat serta negara.

Katanya, ekosistem penyelidikan yang kukuh dan sokongan dalaman strategik merupakan antara faktor kejayaan UMT meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Antara pencapaian membanggakan termasuk tersenarai dalam kelompok 801–850 universiti terbaik dunia menerusi QS World University Rankings 2026 serta kedudukan ke-251–300 dalam THE Young University Rankings 2024.

“Lebih membanggakan, bidang kelautan yang menjadi kekuatan UMT turut meraih tempat dalam kelompok 100 terbaik dunia dan 20 terbaik Asia bagi kategori Marine and Freshwater Biology oleh U.S. News & World Report,” katanya.

Beliau berkata, peranan institusi pengajian tinggi bukan hanya terbatas pada penghasilan ilmu semata-mata tetapi perlu meluas sebagai pemacu inovasi, rakan strategik industri dan penyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“UMT akan terus memperkukuh usaha dalam mengangkat bidang penyelidikan dan inovasi agar kekal relevan serta menyumbang kepada pembangunan negara berasaskan pengetahuan dan teknologi,” katanya.

Majlis tersebut turut meraikan 406 penyelidik UMT menerusi penganugerahan 786 pengiktirafan dalam empat kategori iaitu Geran Penyelidikan, Penerbitan, Inovasi dan Anugerah Terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN