LONDON: Tottenham Hotspur melengkapkan perpindahan pertahanan tengah Jepun, Kota Takai dari kelab Kawasaki Frontale dengan kontrak selama lima tahun.
Pemain berusia 20 tahun itu dibeli dengan anggaran yuran perpindahan 5£ juta (RM28.9 juta) selepas muncul sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam Liga J1.
Takai telah membuat 81 penampilan dalam semua kejohanan untuk Kawasaki dan menjaringkan empat gol selain membantu kelab itu mara ke final Liga Juara-Juara Asia 2025.
Dia turut dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Jepun 2024 selepas menembusi skuad utama Kawasaki dua tahun lalu.
Takai dijangka bersaing merebut tempat bersama Micky van de Ven, Cristian Romero, Kevin Danso dan Radu Dragusin dalam skuad kendalian Thomas Frank.
Namun, posisi Romero dikatakan belum pasti apabila laporan mengaitkan pertahanan Argentina itu dengan perpindahan ke Atletico Madrid musim panas ini. – AGENSI