KOTA BHARU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya mematahkan penyeludupan rokok bernilai RM2.3 juta meskipun tugas tersebut dihalang oleh dua buah kereta ‘tonto’ yang mengiringi lori membawa muatan tersebut di Kampung Alor Mengkuang, Gelang Mas dekat sini semalam.
Dalam Op Taring Landai pada pukul 4 pagi itu, pemandu lori terbabit telah melompat keluar dari lori yang sedang bergerak untuk melarikan diri dengan membiarkan kenderaan terbabit terbabas.
Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas telah mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Cabang Empat menghala ke Kampung Ana, Tumpat.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian menghampiri lori tersebut dan mengarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan namun pemandu enggan berbuat demikian.
“Pemandu lori itu bertindak memecut laju dan memandu dalam keadaan melulu serta berbahaya. PPM kemudian mendapatkan bantuan dari Unit Kereta Peronda (MPV) untuk memberhentikan kenderaan tersebut.
“Bagaimanapun, dua buah kereta yang dipandu oleh ‘tonto’ bertindak melulu dengan niat melanggar anggota anggota bertugas. Situasi itu menyebabkan motosikal dan MPV dipandu anggota bertugas hampir terbabas di bahu jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulafendy memberitahu, tindakan agresif itu menyebabkan anggota bertugas terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori dan kereta tonto untuk menghentikan mereka namun gagal.
Katanya, pemandu lori kemudian bertindak melompat keluar dari kenderaan yang sedang bergerak itu dan melarikan diri.
“Pemeriksaan ke atas lori terbabit telah menjumpai 1.14 juta batang rokok seludup dipercayai dibawa masuk negara jiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN