GEORGE TOWN: Tiada sebarang kesan kecederaan atau luka pada tubuh wanita dan anak perempuannya yang ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, di sini semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad kepada pemberita selepas proses bedah siasat selesai dijalankan terhadap mayat dua beranak itu, hari ini.
“Hasil pemeriksaan sama ada luaran atau dalaman menunjukkan tidak ada sebarang kecederaan mencurigakan pada kedua-dua tubuh si mati.
“Pemeriksaan dalaman juga menunjukkan berlakunya pereputan organ dalaman. Namun, tidak ada sebarang kecederaan yang mencurigakan.
“Sehubungan itu, klasifikasi kes ini dikekalkan sebagai mati mengejut (SDR),” ujar beliau.
Difahamkan, proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) itu bermula seawal pukul 9.15 pagi pagi tadi dan selesai hampir lima jam kemudian.
Terdahulu, Abdul Rozak mengesahkan penemuan mayat dua beranak warga tempatan yang dijumpai dalam keadaan sudah reput di bilik tidur utama, aras sembilan sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, petang semalam.
Menurut beliau, Kes diklasifikasi sebagai SDR sementara menunggu keputusan bedah siasat. – UTUSAN