KEPALA BATAS: Selepas 15 tahun menyewa, impian Tahir Suhid, 55, untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan apabila rumah yang dibina menerusi Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kini sedia untuk didiami.
Tahir berkata, dia bersyukur kerana pembinaan rumah tiga bilik yang menelan belanja RM80,000 itu dapat membantu memastikan kehidupan mereka tujuh beranak lebih selesa selepas ini.
“Sebelum ini, kami duduk menyewa dengan bayaran RM260 sebulan dan meskipun selesa, namun, kami tetap memasang impian untuk memiliki kediaman sendiri.
“Saya telah beli sebidang tanah sejak semasa saya bekerja sebagai anggota tentera lagi, namun, modal untuk membina sebuah rumah agak tidak mencukupi.
“Bagaimanapun, bantuan yang diberikan olah Yapeim ini berjaya membantu kami merealisasikan impian untuk memiliki kediaman idaman ini,” katanya.
Pesara tentera itu ditemui pemberita selepas perasmian Program Sinar Lestari Yapeim yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Penaga di sini, hari ini.
Selain Tahir, turut menerima manfaat sama iaitu Mohd Affindi Md Rashid dan Rusnizam Md Yusof membabitkan peruntukan keseluruhan bantuan bina baharu berjumlah RM240,000.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, bermula dari tahun 2020 hingga Jun 2025, Yapeim telah memperuntukkan RM13.5 juta membabitkan 293 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh.
“Sebanyak 167 projek baik pulih dan 126 projek bina baharu telah dilaksanakan sementara 234 projek telah siap manakala baki 59 projek sedang dalam proses pembinaan.
“Yapeim Pulau Pinang telah melaksanakan sembilan projek dengan lima projek bina baharu dan empat projek baik pulih dengan jumlah keseluruhan bernilai RM460,000,” katanya. – UTUSAN










