LONDON: Erik ten Hag memulakan tugasnya sebagai pengurus Bayer Leverkusen dengan cara yang amat memalukan apabila pasukannya diaibkan dengan kekalahan 5-1 kepada skuad bawah 20 (B-20) Flamengo.
Ten Hag dipecat oleh Manchester United Oktober lalu selepas mencatatkan tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan pembukaan musim tersebut.
Pengurus dari Belanda itu dilantik oleh Leverkusen Mei lalu sebagai pengganti Xabi Alonso yang meninggalkan kelab untuk mengambil alih jawatan pengurus di Real Madrid.
Alonso meninggalkan legasi besar apabila dia memimpin Leverkusen menjuarai kejuaraan berganda domestik tanpa kalah pada musim 2023-2024.
Bekas pengurus Ajax itu menurunkan kesebelasan utama yang kuat, masih mengekalkan sistem 3-4-2-1 yang digunakan Alonso semasa kejayaan musim lalu.
Pemain senior termasuk penjaga gol baharu, Mark Flekken yang dibeli dari Brentford), Jonas Hofmann dan Victor Boniface turut diturunkan namun, hanya dua minit selepas sepak mula, Flamengo sudah menjaringkan gol pembukaan sebelum menggandakan kedudukan dalam tempoh sepuluh minit.
Gol ketiga menyusul beberapa minit kemudian dan ketika Ten Hag cuba mengurangkan kerosakan manakala gol keempat pula dijaringkan tepat sebelum rehat separuh masa.
Ten Hag mengeluarkan Flekken dan Boniface pada minit ke-36 tetapi tidak membuat sebarang pertukaran tambahan semasa rehat dan tindakan itu membawa padah apabila Flamengo menjaringkan gol kelima kurang 10 minit selepas separuh masa kedua bermula.
Pemain akademi, Montrell Culbreath memberi sedikit kegembiraan kepada Leverkusen apabila menjaringkan gol saguhati pada minit ke-71. – AGENSI