MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membangunkan fungsi tambahan kepada aplikasi I-Trafik bagi memudahkan pelancong membuat tempahan beca di lima pusat hentian beca sekitar Banda Hilir di sini.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pelancong boleh mengetahui pengenalan diri pengayuh beca termasuk gambar dan nombor telefon sebelum membuat tempahan.
Beliau berkata, lebih 300 pengayuh beca akan menggunakan fungsi tambahan yang dapat diakses melalui laman web rasmi MBMB.
“Jadi kalaulah berlaku sesuatu sebenarnya pengunjung boleh jadikan ini sebagai rujukan untuk buat aduan dan sebagainya kerana lebih kurang 300 pengayuh beca berada dalam sistem I-Trafik ini.
“Sebagai contoh pengunjung menginap di Hotel Hatten dan mereka boleh membuat tempahan beca dari situ serta boleh memilih pengayuh beca yang menjadi pilihan atau memilih beca yang paling dekat dengan hotel mereka duduk.
“I-Trafik menyediakan pelbagai maklumat bukan sahaja tempahan beca tetapi termasuk status trafik, stesen sensor persekitaran, lokasi tempat letak kereta, stesen pengecas kenderaan elektrik, tandas awam dan juga pemberitahuan penting,” katanya selepas Majlis Penutup dan Jamuan Makan Malam Vibrant 2025 di sini, semalam.
Shadan berkata, orang ramai boleh membayar perkhidmatan beca secara tunai atau melalui e-dompet Touch ‘n Go.
“Jadi pelancaran hari ini adalah tambahan daripada sistem yang ada yang mana pengunjung yang hendak menggunakan perkhidmatan beca mereka boleh menggunakan sistem I-Trafik,” katanya. – UTUSAN