MELAKA: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah menyediakan laporan penuh berhubung insiden kemalangan peserta Melaka International Marathon 2025 di Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini, Ahad lalu.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini beliau hanya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, namun belum menerima maklumat lengkap.
“Ya, saya ada mendengar laporan itu (peserta larian kemalangan) dan saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyediakan laporan penuh.
“Siasatan lanjut perlu dilakukan dan tindakan akan diambil selepas laporan lengkap diserahkan,” katanya selepas merasmikan Seminar Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA) hari ini.
Insiden itu mencetuskan pelbagai reaksi negatif peserta di media sosial yang mendakwa terdapat kelemahan serius dalam aspek keselamatan dan pengurusan acara berkenaan.
Semalam salah seorang peserta marathon mendakwa, terlibat kemalangan langgar lari dengan sebuah kereta ketika menyertai acara terbabit.
Dia yang mengalami beberapa kecederaan pada anggota badan dibawa ke hospital oleh ambulans dan menerima 10 jahitan. – UTUSAN










