PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Jepun selepas menewaskan wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dalam aksi pusingan kedua, sebentar tadi.
Pasangan No. 4 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 17-21, 21-16, 21-12 dalam masa 58 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Tang Jie-Ee Wei bermula perlahan dalam set pertama tetapi kembali menemui rentak dengan memperkemas pertahanan dan variasi serangan untuk mengawal dua set berikutnya.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut mereka ke atas pasangan Indonesia tersebut selepas turut menang dalam pertemuan sebelum ini.
Mereka bakal berdepan gandingan tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dalam aksi suku akhir esok. – UTUSAN