Sinner mara ke suku akhir Wimbledon

Sinner mara ke suku akhir Wimbledon

AKSI Jannik Sinner dalam aksi pusingan keempat Wimbledon semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemain tenis Bulgaria, Grigor Dimitrov meninggalkan Centre Court dengan linangan air mata selepas terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika sedang mendahului dua set dalam pertarungan pusingan keempat Wimbledon menentang Jannik Sinner semalam.

Sinner yang mengalami penurunan prestasi itu diberi laluan mudah mara ke suku akhir kejohanan selepas bergelut dengan masalah siku kanannya.

Pemain pilihan utama itu hampir tersingkir selepas ketinggalan 3-6, 5-7, 2-2 namun, Dimitrov mengalami kecederaan otot pektoral kanan dan tidak dapat meneruskan permainan sekali gus menarik diri dalam lima kejohanan Grand Slam berturut-turut.

“Sejujurnya saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Dia seorang pemain yang luar biasa, saya rasa semua orang melihatnya hari ini. Dia sangat tidak bernasib baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Seorang pemain hebat, dan juga sahabat baik saya. Kami sangat memahami antara satu sama lain di luar gelanggang. Melihat dia dalam situasi ini, jujurnya, jika ada peluang dia boleh bermain di pusingan seterusnya, dia layak untuk itu,” kata Sinner.

Dimitrov rebah menahan kesakitan pada set ketiga dan Sinner segera menghampirinya sebelum pemain pilihan ke-19 itu meninggalkan gelanggang dan kembali beberapa minit kemudian sambil menangis dan tidak dapat meneruskan permainan.

PEMAIN Bulgaria, Grigor Dimitrov (kanan) kelihatan sempat berbual dengan Jannik Sinner sebelum dia menarik diri daripada pusingan keempat Wimbledon. – AFP

“Saya harap dia cepat sembuh. Ia sangat malang untuk dirinya. Saya tidak menganggap ini sebagai kemenangan langsung. Ini adalah satu detik yang amat menyedihkan untuk disaksikan oleh kita semua.

“Saya rasa dalam Grand Slam sebelum ini pun dia banyak bergelut dengan kecederaan dan melihat dia sekali lagi mengalami kecederaan seperti ini amat menyedihkan. Kita semua dapat lihat melalui reaksinya betapa dia sangat menyayangi sukan ini,” kata Sinner. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN