Shila Amzah tolak dakwaan campuri urusan keluarga penyanyi legenda - Utusan Malaysia

Shila Amzah tolak dakwaan campuri urusan keluarga penyanyi legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah, 34, menolak dakwaan kononnya dia pernah mencampuri urusan keluarga seorang penyanyi legenda.

Malah katanya, status media sosial yang dimuatnaik mengenai dilema yang dihadapi sahabatnya, Nabila Huda hanyalah sekadar tanda sokongan kepada pelakon tersebut.

“Ia hanyalah komen (media sosial) tanda setuju terhadap kenyataan Nabila. Saya sekadar mengiyakan kerana pernah menghadapi perkara sama yang dilalui sahabat saya itu.

“Namun saya tidak pernah memetik nama sesiapa dan saya bukan satu-satunya individu yang berkongsi pandangan,” ujarnya.

Shila berkata demikian selepas konsert minggu ke-4 rancangan Raise The Star Malaysia, semalam.

Penyanyi lagu Patah Seribu itu pada minggu lalu membuat laporan polis berhubung serangan verbal yang diterimanya daripada seorang penyanyi senior sewaktu menjalani raptai konsert ulang tahun ke-20 M.R D.I.Y di ibu negara.

Siasatan polis mendapati campur tangan urusan keluarga penyanyi bertaraf legenda itu menjadi punca serangan tersebut dibuat.

Shila bagaimanapun menegaskan status dalam aplikasi X yang dimuatnaiknya sebelum ini hanyalah sekadar menyokong kenyataan anak penyanyi legenda terbabit.

Sementara itu, Shila menyifatkan serangan yang diterimanya daripada penyanyi tersebut sebagai tindakan tidak profesional yang mencemarkan reputasi kedua pihak.

“Pada saya perkara itu tidak adil. Saya boleh terima kalau ditegur dengan cara yang betul atau melalui jalan perbincangan.

“Jika saya tidak bersalah sekalipun, kalau ditegur secara berhemah, saya sendiri akan minta maaf.

“Tetapi teguran dengan cara serangan sebegitu di hadapan orang ramai tidak sepatutnya berlaku. Harus saling menghormati.

“Ini bukan sahaja mengenai reputasi saya, bahkan reputasi beliau juga. Beliau figura disegani, menjadi idola kepada ramai orang.

“Tindakan beliau itu meninggalkan impak yang sangat besar, tidak sepatutnya dibuat terhadap saya,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN