ALOR SETAR: Sesi persekolahan 2026 bagi murid Tahun Satu di Kedah semalam dilaporkan berjalan lancar termasuk di enam sekolah rendah yang hanya mempunyai dua hingga 10 murid.
Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, sekolah tersebut tetap beroperasi seperti biasa bagi memastikan pendidikan dapat dinikmati semua anak walaupun jumlah pendaftaran kecil.
Antaranya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Nan di Kubang Pasu hanya mempunyai dua murid dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Harvard 2 di Yan mencatat empat murid.
“Selain itu, tiga lagi SJKT iaitu Ladang Anak Kulim, Ladang Sungai Dingin dan Ladang Dublin Bahagian 7 di Kulim, serta SJKT Ladang Kupang di Baling masing-masing mempunyai 10 murid Tahun
Satu dan sesi pembelajaran berjalan lancar,” katanya pada Majlis Pembukaan Sesi Persekolahan 2026 Kedah di Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini semalam.
Abdul Rahim berkata, terdapat 20 lagi SJKC dan SJKT di Kedah mempunyai kurang 20 murid Tahun Satu bagi sesi ini. Kebanyakan sekolah terletak di kawasan luar bandar atau estet, di mana penghijrahan keluarga menyebabkan bilangan murid berkurangan. – UTUSAN










