Sepak takraw buat post mortem menjelang Sukan SEA 2025

Sepak takraw buat post mortem menjelang Sukan SEA 2025

SKUAD sepak takraw negara muncul naib juara acara regu berpasukan selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir Piala Raja Thai. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan pada kempen Piala Raja Thai 2025, skuad sepak takraw negara bakal mengadakan post mortem bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan oleh ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun yang turut tidak menolak kemungkinan untuk melakukan rombakan terhadap pasukan bagi menghadapi Sukan SEA 2025 Thailand.

“Barisan kejurulatihan akan buat post mortem bersama PSM untuk merangka program latihan yang lebih bersistematik bagi persiapan pasukan negara ke Sukan SEA nanti.

“Tak mustahil (rombak pasukan) dan kita dah maklumkan kepada PSM, kita kena berani untuk mencuba pemain lain yang kita rasakan ada potensi besar. Kita harap perkara ini dapat dimuktamadkan oleh PSM dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kempen kali ini menyaksikan Malaysia masih gagal menamatkan penguasaan Thailand selama 34 tahun bagi acara regu berpasukan lelaki yang menyaksikan pasukan negara membawa pulang pingat perak selepas tewas 2-0 kepada tuan rumah di Songkhla.

Satu gangsa hadir menerusi acara kuadran lelaki berkongsi pingat dengan Thailand selepas Malaysia tewas kepada Jepun 2-0 dalam aksi separuh akhir.

Katanya lagi, prestasi pemain di Piala Raja Thai 2025 terutama bagi kuadran lelaki, kuadran campuran serta pasukan wanita berada di tahap sederhana.

“Secara keseluruhannya prestasi pemain kita bagi acara kuadran lelaki, kuadran wanita dan kuadran campuran boleh disimpulkan sebagai sederhana baik sebab persiapan yang agak singkat terutamanya pasukan lelaki.

“Mereka dapat mempamerkan sedikit peningkatan dalam acara kuadran campuran dan kuadran lelaki. Kecederaan Afifuddin (Razali) memberi tekanan kepada pasukan ketika menentang Jepun dalam aksi separuh akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN