Sabalenka tarik diri Terbuka Kanada

Sabalenka tarik diri Terbuka Kanada

ARYNA Sabalenka mengalami keletihan akibat jadual padat kejohanan selepas menjadi naib juara Terbuka Australia dan Terbuka Perancis selain mara ke separuh akhir Wimbledon dan Berlin, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Pemain No.1 dunia, Aryna Sabalenka membuat kejutan apabila menarik diri daripada kejohanan Terbuka Kanada di Montreal akibat keletihan.

Bintang Belarus berusia 27 tahun itu baru sahaja melalui musim yang padat termasuk menjadi naib juara Terbuka Australia dan Terbuka Perancis, serta mara ke separuh akhir Wimbledon dan Berlin.

“Saya mahu memulakan aksi di gelanggang keras Amerika Utara, tetapi saya perlu berehat demi memastikan kejayaan musim ini.

“Saya akan merindui peminat-peminat hebat di Kanada, tetapi saya sudah tak sabar untuk kembali bertemu anda semua tahun depan,” kata Sabalenka.

Ketiadaan Sabalenka menyaksikan dia hanya mempunyai satu lagi kejohanan pemanas badan iaitu di Cincinnati sebelum mempertahankan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Flushing Meadows.

Pengarah kejohanan, Valerie Tetreault mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, namun memahami situasi bintang utama dunia itu.

“Kami jelas kecewa kerana Aryna tidak akan bersama kami tahun ini,” kata Tetreault.

Turut menarik diri ialah pemain Sepanyol, Paula Badosa yang menghuni ranking ke-10 dunia akibat kecederaan, membuka ruang kepada Caty McNally (AS) dan Moyuka Uchijima (Jepun) menyertai undian utama.

Dalam perkembangan lain, bintang tempatan Eugenie Bouchard mengumumkan persaraan daripada tenis profesional selepas aksi terakhirnya di Montreal.

Pemain berusia 31 tahun itu pernah menduduki ranking kelima dunia dan mencipta impak besar pada 2014 apabila mara ke final Wimbledon serta separuh akhir Terbuka Australia dan Perancis. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN