LONDON: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka mara ke separuh akhir Wimbledon selepas bangkit menewaskan Laura Siegemund dari Jerman 4-6, 6-2, 6-4 dalam pertarungan hampir tiga jam penuh tekanan.
Pemain berusia 27 tahun itu dua kali ketinggalan ‘break’ dalam set penentuan sebelum melakar kebangkitan dramatik untuk menempah slot ke separuh akhir buat kali ketiga di All England Club.
Finalis Terbuka Australia dan Perancis tahun ini itu kini mengekalkan harapan untuk mara ke final Grand Slam keempat berturut-turut selepas memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2024.
“Perlawanan ini benar-benar satu ujian. Saya perlukan masa untuk bertenang dan pulih selepas ini.
“Saya lihat ke arah kotak pasukan saya selepas kalah set pertama dan terfikir, ‘sediakan tiket, kita bakal tinggalkan tempat indah ini’,” kata Sabalenka.
Sabalenka merupakan satu-satunya pilihan utama yang masih bertahan di kejohanan wanita tahun ini selepas ramai bintang tersingkir awal.
Siegemund, 37, yang lebih dikenali sebagai pemain beregu, hampir mencipta kejutan besar selepas mempamerkan aksi cemerlang sejak pusingan awal.
Sabalenka bagaimanapun mengekalkan fokus dalam detik genting, enggan menyerah walaupun tampak goyah dengan beberapa kesilapan sendiri sebelum menamatkan perlawanan dengan sorakan lega. – AGENSI