BARCELONA: Barcelona membatalkan rancangan mereka untuk kembali ke Camp Nou pada Ogos ini sekali gus menangguhkan lagi pembukaan semula stadium tersebut, kata kelab itu.
Kelab gergasi Catalan itu pada asalnya merancang untuk mengadakan aksi persahabatan pada 10 Ogos ini sebagai perlawanan pertama di stadium mereka selepas dua tahun kerja pembinaan tetapi menyalahkan kesukaran untuk mendapatkan lesen bagi pembukaan sebahagian stadium sebagai punca keputusan tersebut.
“Barcelona memaklumkan bahawa perlawanan pertama kembali ke Spotify Camp Nou telah dibatalkan.
“Oleh kerana skala kerja yang telah dilakukan, adalah mustahil untuk memenuhi semua keperluan yang ditetapkan oleh peraturan berkaitan pemberian lesen pendudukan pertama, walaupun kelab mempunyai hasrat untuk membuka Camp Nou secara berperingkat,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Aksi pertama di Camp Nou kini dijadualkan pada aksi La Liga menentang Valencia pada 13 atau 14 September dengan tiga perlawanan awal liga Barcelona berlangsung di tempat lawan. – AFP