GEORGE TOWN: Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan beliau terhadap Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu penjualan tanah di Batu Kawan.
Pada masa yang sama, syarikat yang terbabit dalam penjualan aset tersebut iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga bersetuju untuk menarik balik saman fitnah mereka terhadap bekas pemimpin DAP itu.
Terdahulu, Ramasamy dalam penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Helmi Ghani untuk menerima penjelasan Kon Yeow yang sebelum itu telah mempengerusikan dua mesyuarat utama PDC berhubung isu berkenaan.
Kedua-dua mesyuarat iaitu mesyuarat jawatankuasa kecil pada 28 Nov 2022 dan mesyuarat lembaga pada 9 Feb 2023 membincangkan mengenai penjualan tanah seluas 226 hektar di Byram, Batu Kawan, kepada Umech Land Sdn. Bhd..
Ramasamy diwakili oleh peguam, Shamsher Singh Thind manakala seorang lagi peguam, Ruebankumar Asokan pula mewakili Kon Yeow.
Ramasamy juga bersetuju untuk menggugurkan saman terbabit tanpa kebebasan untuk memfailkan kes itu semula.
Selain itu, beliau turut bersetuju menarik balik kenyataan dibuat mengenai PDC dan menamatkan kedua-dua saman terbabit secara kekal tanpa perintah mengenai kos sebagai jalan penyelesaian kes berkenaan.
Ramasamy yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai sebelum ini telah memfailkan saman fitnah terhadap Kon Yeow pada 18 Julai tahun lalu susulan satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Ketua Menteri itu pada 3 Oktober 2023, yang didakwa telah mencemarkan reputasi beliau secara serius sebelum disiarkan media tempatan dan ditularkan oleh pengguna di media sosial.
Susulan pemfailan saman berkenaan, beberapa proses mediasi dilaporkan telah berlangsung dalam usaha untuk mencari penyelesaian terhadap kes berkenaan. – UTUSAN