Qabil juara perlumbaan 1 di Navarra

Qabil juara perlumbaan 1 di Navarra

Qabil Irfan mengungguli perlumbaan 1 pada pusingan keempat Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar de Navarra, Sepanyol, kelmarin. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Qabil Irfan Azlan terus cemerlang mengibarkan Jalur Gemilang di benua Eropah selepas muncul juara dalam perlumbaan 1 pada pusingan keempat Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar de Navarra, Sepanyol, kelmarin.

Pelumba berusia 13 tahun itu yang bernaung di bawah pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly melakar masa terpantas 27 minit 25.519 saat (s) untuk mengungguli saingan 14 pusingan kategori ESBK Talent.

Tempat kedua menjadi milik pelumba tuan rumah, Enzo Zaragoza yang mencatat masa 27:25.552s, manakala, kedudukan ketiga dimenangi oleh pencabar terdekat Qabil, Izan Rodriguez yang mencipta masa 27:25.774s.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu tersebut semakin mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas di dalam carta ESBK Talent selepas menokok 25 mata lagi sebaik perlumbaan 1 berakhir.

Bagaimanapun, dalam perlumbaan 2 semalam, Qabil sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas mencipta masa 27:33.454s dan menokok 13 mata.

Pelumba Switzerland, Alessio Arnold menjuarai perlumbaan tersebut dengan lakaran masa terpantas 27:32.883s, manakala, tempat kedua serta ketiga dimenangi oleh Zaragoza (27:32.896s) dan Rodriguez (27:33.105s).

Qabil yang bermula di grid kedua dalam kedua-dua perlumbaan di Navarra, kini selesa mendominasi tangga teratas dengan 170 mata, manakala, Rodriguez pula mengumpul 124 mata di tempat kedua.

Arnold yang melengkapkan aksinya di kedudukan keempat dalam perlumbaan 1 menghuni tempat ketiga keseluruhan selepas mengutip 120 mata.

Jurang 46 mata memisahkan antara Qabil dan Rodriguez, dengan tiga lagi pusingan perlu dilengkapkan, musim ini di Litar de Navarra II (28-31 Ogos), Litar Estoril, Portugal (11-14 September) dan Litar Jerez, Sepanyol (6-9 November).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN