Pulau Pinang komited perkukuh infrastuktur kesihatan - Daniel Gooi

Pulau Pinang komited perkukuh infrastuktur kesihatan – Daniel Gooi

DANIEL Gooi (tengah) ketika menghadiri Kongres Antarabangsa ke-32 Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) di Pusat Konvensyen Spice, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang komited memperkukuh infrastruktur kesihatan negeri dengan memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan yang inklusif dan berkualiti, khususnya kepada wanita, kanak-kanak dan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, perkara itu dibuktikan menerusi peruntukan RM758 juta daripada kerajaan Persekutuan yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk tiga projek utama di Hospital Pulau Pinang (HPP) membabitkan pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak bernilai RM307 juta, Blok Perkhidmatan Sel Stem (RM23 juta), dan Blok Klinik Pakar serta Wad baharu berjumlah RM428 juta.

“Pelaburan besar ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkasa sistem kesihatan awam demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Antarabangsa ke-32 Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) di Pusat Konvensyen Spice, Bayan Lepas. Turut hadir Presiden Terpilih OGSM, Dr. R.M. Udayar.

Kongres tiga hari itu menghimpunkan lebih 800 pakar dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan, menjalin kerjasama serta meneroka inovasi dalam penjagaan kesihatan ibu dan reproduktif.

Sementara itu, Dr. R.M. Udayar berkata, kongres ini bukan sekadar perhimpunan tahunan, sebaliknya ‘perayaan’ terhadap pendidikan, inovasi dan dedikasi bersama dalam menyerlahkan hasrat menggabungkan sains dan teknologi moden dengan penjagaan berpusatkan pesakit.

Bertemaka  ‘Merangkul Kepelbagaian & Menginspirasi Perubahan’ kongres berkenaan menjadi medan penting dalam membentuk masa depan bidang obstetrik dan ginekologi melalui penyelidikan dan perbincangan mendalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN