Sukma 2024: Sasaran 40 emas Pulau Pinang tercapai - Gooi

Sukma 2024: Sasaran 40 emas Pulau Pinang tercapai – Gooi

DANIEL GOOI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Pulau Pinang berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini apabila berjaya meraih 40 pingat emas, 40 pingat perak dan 50 pingat gangsa secara keseluruhannya pada temasya yang berlangsung di Sarawak itu.

Chef De Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen Sukma Pulau Pinang, Daniel Gooi berkata, sasaran tersebut dicapai melalui kemenangan atlet catur yang berjaya menghasilkan dua pingat emas melalui acara individual blitz lelaki dan individual blitz perempuan di Dewan Jubli UiTM, Kota Samarahan.

“Ketika ini, kontinjen Sukma Pulau Pinang masih meneruskan cabaran untuk menambah pungutan pingat dalam acara-acara sukan akhir yang sedang berlangsung pada ketika ini.

“Kami berharap agar warga Pulau Pinang terus melaungkan sokongan padu kepada atlet-atlet yang sedang berentap untuk terus melakar kejayaan sebelum tirai penutup dilabuhkan malam ini,” katanya di sini, hari ini.

Sebanyak 37 jenis sukan melibatkan 488 acara yang terdiri dari 236 acara lelaki, 217 acara wanita serta 35 acara campuran dipertandingkan pada edisi ke-21 itu dan daripada jumlah sukan tersebut, kontinjen Pulau Pinang mengambil bahagian dalam 36 jenis sukan.

Menurut Gooi, pihaknya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, persatuan-persatuan sukan negeri, pengurus pasukan, jurulatih sukan negeri serta para atlet-atlet yang telah bertungkus lumus berjuang bagi merealisasikan sasaran dan pencapaian yang membanggakan ini.

“Kekentalan dan semangat tidak berputus asa yang ditunjukkan oleh para atlet negeri meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang temasya ini amat dikagumi.

“Penghargaan turut disampaikan kepada kerajaan Sarawak selaku tuan rumah penganjuran Sukma ke-21 Sarawak 2024 dan juga kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak yang merupakan agensi bapa angkat kepada Kontinjen SUKMA Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN