Piala Dunia Kelab satu kejayaan besar - Infantino

Piala Dunia Kelab satu kejayaan besar – Infantino

GIANNI INFANTINO - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabanga (FIFA), Gianni Infantino percaya bahawa Piala Dunia Kelab sudah menjadi pertandingan kelab paling berjaya di dunia walaupun terdapat beberapa perkara negatif yang menyelubungi kejohanan tersebut.

Infantino mengetuai badan induk bola sepak dunia sejak 2016 mendakwa kejohanan itu telah menjana lebih daripada AS$2 bilion (RM8.5 bilion) yang menurutnya bernilai AS$33 juta (RM140 juta) setiap perlawanan.

Hasil daripada itu, Infantino percaya kejohanan tersebut menjadi satu kejayaan besar sambil menambah bahawa era keemasan bola sepak kelab global telah bermula.

Kenyataan Infantino hadir hanya beberapa minggu selepas bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengatakan bahawa Piala Dunia Kelab tahun ini dipindahkan ke musim panas dan diperluas kepada 32 pasukan adalah idea paling teruk yang pernah dilaksanakan dalam bola sepak.

Banyak perlawanan mencatat kehadiran penonton yang rendah dengan lebih daripada sejuta tempat duduk kosong sepanjang kejohanan dan pemain seperti Jude Bellingham, Reece James serta Enzo Fernandez turut mengkritik keadaan cuaca serta kualiti padang di Amerika Syarikat (AS).

“Era keemasan bola sepak kelab global telah bermula. Kita boleh katakan dengan pasti bahawa Piala Dunia Kelab FIFA ini merupakan satu kejayaan yang sangat besar. Sudah tentu, terdapat banyak perkara positif dan ada juga beberapa perkara negatif.

“Kami menghormati pendapat semua orang. Ia telah berjaya. Kami telah menerima lebih daripada 2.5 juta penonton di stadium. Itu kira-kira 40,000 penonton setiap perlawanan.

“Tiada liga di dunia yang mencatat angka sebegitu, kecuali Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sememangnya melibatkan pasukan tuan rumah, manakala kejohanan ini berlangsung di stadium neutral.

“Kami pernah dengar dakwaan bahawa secara kewangan ia tidak akan berhasil tetapi saya boleh katakan kami telah menjana lebih AS$2 bilion dalam kejohanan ini.

“Kami memperoleh purata AS$33 juta setiap perlawanan. Tiada kejohanan piala lain di dunia yang hampir kepada angka AS$33 juta setiap perlawanan,” kata Infantino. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN