Philipsen tersingkir daripada Tour de France akibat jatuh laju

Philipsen tersingkir daripada Tour de France akibat jatuh laju

JASPER Philipsen meraikan kejayaan di podium dengan jersi hijau sebagai pelumba pecut terbaik peringkat ke-2 perlumbaan berbasikal Tour de France di Boulogne-sur-Mer, Perancis pada Ahad lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNKIRK: Pemenang peringkat pembukaan Tour de France 2025, Jasper Philipsen terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas mengalami patah tulang selangka dalam insiden kemalangan berkelajuan tinggi.

Pelumba pasukan Alpecin itu terjatuh ketika memecut dalam perebutan mata pecutan pertengahan, kira-kira 60 kilometer (km) sebelum garisan penamat di Dunkirk, Perancis pada peringkat ketiga semalam.

Pasukan Alpecin menerusi kenyataan rasmi mengesahkan Philipsen mengalami fraktur tulang selangka kanan yang beralih dan memerlukan pembedahan segera.

“Fraktur tulang selangka kanan yang beralih, pembedahan pasti diperlukan. Kami doakan Jasper segera pulih dan kembali berlumba,” kata kenyataan itu.

Insiden berlaku apabila pelumba lain memotong secara mengejut semasa pecutan 70km sejam menyebabkan Philipsen bertembung dengan Bryan Coquard sebelum tergelincir di atas jalan raya.

Coquard kemudian tampil memohon maaf, namun pengadil tetap memberikan kad kuning kepadanya serta rakan senegara, Edward Theuns atas kesalahan pecutan tidak sah.

Dua lagi pelumba, Davide Ballerini dari Itali dan Danny van Poppel dari Belanda turut dikenakan tindakan serupa dan masing-masing didenda 500 franc Swiss (RM2,660).

Philipsen yang memenangi jersi hijau selaku Raja Pecut pada edisi 2023 kini digantikan oleh pelumba Itali, Jonathan Milan, manakala Tim Merlier dari Belgium memenangi peringkat ketiga menerusi foto penamat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN