NARATHIWAT (THAILAND): Ketiadaan penguatkuasaan tegas berhubung penjualan ganja menyebabkan kegiatan menjualnya masih berleluasa walaupun undang-undang Thailand melarang perbuatan sedemikian.
Seorang pengamal undang-undang di Selatan Thai, Kamonsak Leewamoh berkata, keadaan ini mengelirukan kerana di Thailand sememangnya ada undang-undang yang melarang berbuat demikian.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand berkata, kekeliruan itu menyebabkan larangan penjualan secara terbuka tidak dipedulikan.
“Sekarang ini ada yang kata ganja tidak boleh dijual untuk rekreasi. Ada yang kata boleh. Jadi di Selatan Thailand ini khususnya di bandar besar masih ada kedai yang menjual ekstrak ganja secara bebas.
“Jualan secara kecil-kecilan memang banyak. Pihak berkuasa lebih menumpukan kepada sindiket besar sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, beliau dan ramai lagi bekas ahli Parlimen akan memastikan ganja dikategorikan semula sebagai dadah terlarang dengan mengetengahkan undang-undang atau akta baharu berkenaan kawalan terhadap ganja.
Kamonsak yang lebih dikenali sebagai Wan Johan dalam kalangan penduduk Selatan Thai berharap, akta baharu mengharamkan ganja untuk tujuan rekreasi dapat dibentang di Parlimen awal tahun depan.
“Orang ramai, khususnya di Selatan Thailand tidak bersetuju ganja dibolehkan untuk tujuan rekreasi kerana kesannya terhadap anak muda sekarang ini,” katanya.
Beliau juga percaya ada kumpulan yang mempunyai kepentingan tertentu menghalalkan penggunaan kanabis atau ganja, akan berusaha menentang langkah mengklasifikasikan semula bahan itu sebagai dadah terlarang.
“Tapi kita sedar ada pihak yang akan menentang. Ini kerana mereka telah membelanjakan wang yang banyak untuk menjadikan ganja itu macam-macam kegunaan,” jelasnya. – UTUSAN











