Penjawat awam perlu patuhi undang-undang negara - AGC

Penjawat awam perlu patuhi undang-undang negara – AGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap rakyat Malaysia dan penjawat awam perlu mematuhi undang-undang negara termasuk menyertai sebarang perhimpunan meskipun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak untuk bersuara.

Jabatan Peguam Negara berkata, meskipun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak kepada setiap warga untuk bercakap dan bersuara serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak-hak tersebut adalah tidak bersifat mutlak.

Katanya, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan Ketua Setiausaha Negara kepada penjawat awam.

“Dalam hal ini, seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012]. 

“Berdasarkan Surat Aku Janji tersebut, setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai sebarang perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Ini kerana katanya, penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan pada setiap minggu iaitu sentiasa setia kepada raja dan negara.

Mengulas lanjut, Jabatan Peguam Negara berkata, berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, seorang kakitangan kerajaan hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

“Selain itu, tidak berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam dan tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.

“Sehubungan dengan itu, sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam di bawah P.U. (A) 395/1993,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN